****************~>tinggalkan jejak erk..dun f0rget!..tQ<~***********************

.::akhlak mulia jauhi kemungkaran::.

assalamualaikum..

morning!!!!!!!!!!

al-kisahnya........

FALSAFAH moden Barat hanya mengenal istilah moral dan etika. Ia mengandungi nilai dan falsafah tersendiri dalam pengertian Barat. Kedua-duanya bersumberkan daripada akal manusia serta bersifat pragmatik (berubah-ubah) dalam menyesuaikan dengan perubahan dan kehendak akal dan nafsu manusia.



Dalam Islam, nilai dan peraturan kehidupan diasaskan kepada nilai akhlak. Akhlak dalam ajaran Islam adalah bersifat rabbani, iaitu bersumber daripada Allah. Ia meliputi semua akhlak dan sifat mulia yang diajar al-Quran.


Akhlak dalam ajaran Islam berasal daripada akar kata khulqun yang bermaksud tabiat, tingkah laku dan budi pekerti. Berdasarkan Muhammad Uthman El-Muhammady, al-Khulq dari segi istilahnya mengandungi erti `kumpulan sifat yang bersemadi di dalam jiwa insan dan berdasarkan dorongan serta pertimbangan sifat itu, maka sesuatu perbuatan itu dikatakan baik atau buruk’. Al-Ghazali menyatakan akhlak adalah bawaan sifat jiwa tersembunyi yang melahirkan tingkah laku atau perbuatan.


Betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan umat Islam dapat dimengertikan melalui doa Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud “Ya Allah, jadikanlah pada akhlakku mulia seperti Engkau menjadikan jasadku baik” (hadis riwayat Ahmad).


Orang yang berakhlak mulia dicintai nabi dan di akhirat kelak golongan yang baik akhlaknya akan berada dekat dengan nabi seperti maksud sebuah hadis riwayat Ahmad, “Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan sangat dekat kedudukannya kepadaku pada hari akhirat ialah orang Islam yang paling baik akhlaknya dan sesungguhnya orang paling dibenci di kalangan kamu di sisiku dan yang paling jauh dariku di akhirat ialah orang yang buruk akhlaknya”.


Sesungguhnya kemuliaan kita selaku umat Islam terletak pada keindahan akhlak diamalkan. Manusia yang berakhlak adalah manusia yang sedia membataskan dirinya menurut batas yang ditetapkan penciptanya.


Di dalam al-Quran terlalu banyak ayat yang mendorong kita mengamalkan sifat terpuji (berakhlak) seperti sifat ihsan, jujur, sabar, suka memaaf, berlapang dada, berbaik budi, membantu orang lain, menepati janji, tidak berputus asa, rendah diri, tidak zalim, tidak rasuah, tidak berzina, tidak minum arak, tidak mengherdik ibu-bapa, tidak melampaui batas dan sebagainya.


Dr Yusuf al-Qardawi menjelaskan betapa syumulnya akhlak dalam ajaran Islam sehingga ia mampu membentuk etika (panduan dan peraturan) dalam semua cakupan kehidupan seperti etika terhadap keluarga, etika terhadap masyarakat, etika terhadap alam dan etika terhadap Allah.


Semua bentuk maksiat dan kemungkaran yang dilakukan manusia mampu merosak kemuliaan darjat insan selain ia turut merosakkan rangka masyarakat itu sendiri. Oleh kerana itulah dalam Islam, kemajuan dan pembangunan manusia itu perlu sekali mengambil kira persoalan akhlak.


Uthman El-Muhammady berkata, kegiatan pembangunan dalam tamadun manusia tidak boleh dipisahkan daripada persoalan akhlak. Jika ia dipisahkan maka ia akan mengundang akibat buruk yang merosak dan membinasakan tujuan pembangunan itu sendiri.


Di antara fungsi penting perutusan Rasulullah SAW adalah untuk membaiki akhlak manusia. Ini bermakna risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW mempunyai nilai dan misi pendidikan (tarbiyyah) ke atas jiwa manusia.


Ini adalah perkara penting dalam konteks reformasi sosial yang dibawa oleh nabi di tengah-tengah kehadirannya dalam masyarakat jahiliah yang rosak akhlaknya. Kita diperintahkan al-Quran untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang” (surah al-Ahzaab:21). Akhlak yang baik juga dihubungkan dengan nilai amalan kita seperti maksud hadis, “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu” (Riwayat al-Hakim).


Syariah Islam yang dibawa nabi adalah bertujuan menjaga dan memelihara lima prinsip kehidupan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh kerana itu Islam melarang mendekati dan melakukan kerja mungkar atau maksiat iaitu perbuatan yang tidak berakhlak dalam apa bentuk sekali pun.


Islam tidak mengizinkan sama sekali aktiviti tidak berakhlak seperti pelacuran (atas apa nama dan alasan sekalipun), pertandingan ratu cantik (atas apa nama sekalipun), homoseksual, bersekedudukan tanpa nikah, seks bebas, lesbian, gay, penagihan dadah, minum arak dan seumpamanya.


Begitu juga Islam melarang akhlak mazmumah yang lain seperti fitnah, adu-domba, khianat, buruk sangka, berniat jahat, tuduhan palsu, takbur, sombong, riak, rasuah, penyelewengan dan sebagainya.


Satu perkara penting berhubung kait dengan persoalan akhlak ialah akal. Islam amat menghargai kemuliaan akal kerana ia adalah jalan ilmu, jalan mencari hidayah dan jalan mencari kebenaran.


Oleh kerana itu, Islam melarang minum arak, menagih dadah dan lain-lain bahan yang boleh merosakkan akal. “Sejahat-jahat makhluk ialah mereka yang gagal memanfaatkan akal (surah al-Anfal: 22), dan di antara golongan ahli neraka adalah mereka yang tidak menggunakan akalnya” (surah al-Mulk:10).


Apabila akal dijaga dan disuburkan dengan ilmu, maka akal akan memandu manusia memahami wahyu-Nya. Akal yang menerima hidayah Allah akan menolak aliran fahaman yang mengheret manusia kepada perlakuan hidup bebas dan tidak berakhlak.


Oleh kerana itu, masalah keruntuhan akhlak yang melanda umat Islam hari ini disebabkan kita gagal memanfaatkan akal dalam konteks memahami kebaikan dan keburukan sesuatu yang disogokkan oleh budaya dan pemikiran Barat.


Allahyarham Profesor Syed Hussein Al-Atas (meninggal 24 Januari 2007) dalam tulisannya Watak Tertawan Di Negara Membangun dalam buku Pasca Kolonialisme Dalam Pemikiran Melayu (terbitan DBP, 2005) menghurai mengenai penyakit atau gejala, sikap, perangai atau watak tertawan terhadap pengaruh dan budaya barat.


Beliau berkata, masalah watak tertawan ini bukan masalah kita terhadap Barat tetapi ia adalah masalah peribadi kita yang terikut-ikut (peniruan) tanpa sikap atau pemikiran yg mendalam dan rasional terhadap apa didatangkan Barat kepada kita.


Watak tertawan ini lebih kepada persoalan mengenai kegagalan kita memanfaatkan akal secara mendalam dan rasional. Watak tertawan ini gagal menolak dan membantah apa-apa disaji atau disogokkan Barat dalam perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan kemajuan kepada kita.


Kesimpulan, sejauh mana dan sehebat mana majunya kehidupan ini, manusia tetap memerlukan nilai akhlak. Umat Islam harus menjadikan akhlak yang diajar oleh al-Quran dan diamalkan oleh nabi kita Muhammad SAW sebagai perkara asas untuk mencari dan menuju mardhatillah di dunia dan di akhirat.


Masalah kita hari ini ialah kita masih tetap teguh menganut agama Islam, tetapi di sisi yang lain kita gagal mengamalkan akhlak Islam dengan baik dan berkesan.


Hanya dengan mengamalkan akhlak yang mulia kita dapat menemui as-Salam, iaitu kesejahteraan dan kebahagiaan.


Setiap Muslim harus kembali dengan penuh iltizam mengamalkan akhlak Islamiah yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan yang penuh cabaran dan menggugat ini. Jauhilah diri meniru budaya dan amalan Barat yang merosakkan akhlak kita selaku umat Islam.


Tirulah dari barat dalam perkara positif yang sebenarnya berasal dari Islam seperti budaya membaca, budaya mengkaji dan meneroka dan sebagainya.


Akhirnya, marilah kita renungkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Hasan al-Basri, “Seorang Muslim itu sangat ketat menjaga akhlaknya dan sentiasa melakukan muhasabah diri. Ia menjaga akhlaknya lebih ketat daripada seorang saudagar menjaga harta dan perdagangannya”.


Renungkanlah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Extended Network Banners